Warisan Seni Bina

Mengenai Dana Warisan

Penyempurnaan usaha pemuliharaan Seri Negara pada 15 Disember 2025 dan Bangunan Sultan Abdul Samad pada 31 Januari 2026, diikuti pembukaan semula Pejabat Pos Besar Lama pada bulan Mei 2026, menandakan fasa pertama projek pemuliharaan bangunan warisan di bawah Dana Warisan, sebuah dana warisan negara yang diperkenalkan melalui Belanjawan Malaysia MADANI 2023.

Pada masa yang sama, pembinaan laluan kanopi pejalan kaki sepanjang 590 meter yang menghubungkan Seri Negara, Carcosa dan Taman Botani Perdana sedang dilaksanakan dan dijangka siap menjelang pertengahan tahun 2026.

Pelan pemuliharaan untuk memaknakan semula kehidupan di pusat bandar turut merangkumi beberapa bangunan warisan penting di sekitar kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad, termasuk bangunan Mahkamah Agung Lama, Pejabat “Sanitary Board” Lama dan Dewan Orang Ramai (Panggung Bandaraya), Pejabat Ukur Lama, serta Ibu Pejabat Keretapi Negeri-negeri Melayu Bersekutu  (Muzium Tekstil Negara), yang dahulunya merupakan Ibu Pejabat Kereta Api Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Model seni bina yang dipamerkan di bahagian ini menampilkan enam daripada lapan bangunan yang direka oleh Arthur Benison Hubback (1871–1948), yang memulakan kerjayanya dengan Jabatan Kerja Raya Selangor sebagai Pemangku Arkitek dan Ketua Pelukis Pelan pada tahun 1895 dan akhirnya memegang jawatan sebagai Arkitek Kerajaan Jabatan Kerja Raya Persekutuan. Hubback turut mereka beberapa bangunan penting lain di Negeri-negeri Melayu Bersekutu, termasuk Residensi British di Seremban (1907) dan Kolej Melayu Kuala Kangsar (1909).

Rujukan Lanjut

Pautan ke Ucapan Belanjawan MADANI Malaysia 2023 (Bahasa Malaysia):
https://www.parlimen.gov.my/resources/files/rsaindex/pdf/ub23%20BM.pdf

Pautan ke laman sesawang Dana Warisan oleh Khazanah Nasional Berhad:
https://www.khazanah.com.my/our-investments/dana-warisan/overview/?lang=ms

Pautan ke laman sesawang Arthur Benison Hubback: 
https://www.abhubback.com/

Mengenai Bangunan Warisan

Model-model bangunan yang dipamerkan

Bangunan Sultan Abdul Samad (1897)

Siap dibina pada tahun 1897, Bangunan Sultan Abdul Samad direka oleh A.C. Norman bersama R.A.J. Bidwell dan A.B. Hubback menampilkan tafsiran tersendiri seni bina British Raj. Kos pembinaannya adalah sebanyak $152,000 Dolar Selat.

Bangunan ini dibina sebagai Pejabat Baharu Kerajaan dan berfungsi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan Sekretariat Persekutuan selama 77 tahun sehingga 1974. 

Ciri paling ikoniknya ialah menara jam setinggi 41.2 meter yang menghadap Padang Kuala Lumpur. Bangunan ini menjadi saksi kepada pelbagai detik penting negara termasuk sambutan ambang kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957. Hari ini, ia kekal sebagai salah satu mercu tanda bersejarah paling penting di Kuala Lumpur.

Carcosa (1898)

Carcosa direka pada tahun 1897 dan siap dibina pada tahun 1898 sebagai kediaman rasmi Residen-Jeneral Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Penghuni pertamanya ialah Sir Frank Swettenham. 

Pembinaannya dilaksanakan oleh Tetuan Nicholas Walsh & Co., dengan kos sekitar $62,376 Dolar Selat bagi bangunan utama serta $69,000 untuk kerja berkaitan seperti jalan masuk, tapak, kandang kuda dan bekalan air. 

Dirasmikan pada 29 Ogos 1898, bangunan ini turut menjadi lokasi majlis rasmi kerajaan, majlis perjamuan dan pesta tari-menari.

Pejabat “Sanitary Board” Lama dan Dewan Orang Ramai (1904)

Pejabat “Sanitary Board” Lama dan Dewan Orang Ramai direka oleh Arthur Benison Hubback pada tahun 1901 ketika beliau berkhidmat sebagai Pembantu Arkitek Kerajaan di Jabatan Kerja Raya Persekutuan serta ahli lembaga “Sanitary” Kuala Lumpur. 

Bangunan ini siap dibina pada tahun 1904 dengan kos sekitar $100,000 Dolar Selat. Ia menggabungkan dua fungsi utama dalam satu kompleks, iaitu sebagai pusat pentadbiran awal “Sanitary Board” (Lembaga Kebersihan) Kuala Lumpur serta sebagai ruang perhimpunan awam untuk majlis tari-menari dan acara hiburan masyarakat. Dari segi seni bina, bangunan ini menampilkan gaya Mughal eklektik dengan fasad melengkung yang tersendiri serta kubah tembaga di anjung utama.

Mengikut sejarah, bangunan ini mempunyai dwifungsi dengan pintu masuk berasingan, iaitu Pejabat “Sanitary Board” di tingkat atas dan Dewan Orang Ramai di tingkat bawah. Dalam kalangan masyarakat Melayu, Pejabat “Sanitary Board” dikenali sebagai “Santaribut”. Bangunan ini kemudiannya dikenali sebagai Panggung Bandaraya Kuala Lumpur dan telah diwartakan sebagai bangunan Warisan Kebangsaan pada tahun 2007.

Pejabat Pos Besar Lama Kuala Lumpur (1907)

Pejabat Pos Besar Lama Kuala Lumpur direka pada tahun 1902 dan siap dibina pada tahun 1907 dengan kos sekitar $100,000 Dolar Selat. Kontrak pembinaan pada awalnya diberikan kepada Towkay Choo Teck Lim sebelum diambil alih oleh kontraktor dari Singapura, Tetuan Walter Pallister, pada tahun 1904.

Terletak di persimpangan Jalan Raja dan Market Street, bangunan ini menjadi pejabat pos utama Kuala Lumpur yang ketiga sejak tahun 1893. Dari segi seni bina, bangunan ini menampilkan gaya Mughal eklektik tanpa kubah, dengan pedimen hiasan, puncak chatri dan menara tangga bersegi.

Seri Negara (1913)

Seri Negara dibina berhampiran Carcosa sebagai kediaman yang lebih kecil untuk Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, yang pada masa yang sama memegang jawatan Gabenor Negeri-Negeri Selat yang berpusat di Singapura sehingga tercetusnya Perang Dunia Kedua. Cadangan pembinaan kediaman ini pertama kali disebut dalam satu warkah rasmi oleh Sir John Anderson pada tahun 1910, yang mencadangkan sebuah rumah tambahan bersebelahan Carcosa untuk kegunaan pegawai kanan pentadbiran British.

Bangunan dua tingkat ini pada asalnya mempunyai tujuh bilik tidur, masing-masing dilengkapi dengan beranda dan bilik air persendirian. Sebuah bangunan pejabat berasingan, yang kini dikenali sebagai Serai House, dihubungkan dengan kediaman utama melalui laluan berbumbung. Seiring peredaran masa, fungsi dan nama bangunan ini turut berubah — daripada Federal Lodge, Government House, King’s House, Istana Tetamu, dan akhirnya Seri Negara, yang pernah berfungsi sebagai kediaman rasmi untuk tetamu kenamaan serta tokoh penting dalam sejarah Malaysia.

Mahkamah Agung Lama (1915)

Mahkamah Agung Lama direka pada tahun 1912 dan siap dibina pada tahun 1915 dengan kos sekitar $208,500 Dolar Selat. Pembinaannya dilaksanakan oleh kontraktor tempatan Towkay Ang Seng. Terletak di Jalan Raja di tebing Sungai Gombak, bangunan ini didirikan di tapak bekas kawasan lapang yang dikenali sebagai Dhobby Green. 

Ia dirasmikan pada 1 Mei 1915 oleh Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Sir Arthur Young. Direka dalam gaya Mughal eklektik, bangunan ini menampilkan menara di setiap penjuru yang dihiasi kubah kecil, arked berkembar serta halaman tengah terbuka. Kini dikenali sebagai Mahkamah Agung Lama, bangunan ini diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2012.

Model-model bangunan yang tidak dipamerkan

Pejabat Ukur Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Kuala Lumpur (1911)

Pembinaan Pejabat Ukur Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) bermula pada Ogos 1909 dan mula beroperasi pada tahun 1911 dengan kos sekitar $150,000 Dolar Selat. 

Dibina di tapak bekas halaman “Sanitary Board” di Java Street, bangunan ini berfungsi sebagai ibu pejabat Jabatan Ukur NNMB. Cawangan Trigonometri, yang sebelum ini berpusat di Taiping, dipindahkan ke sini pada tahun 1910. 

Direka dalam gaya Mughal eklektik, bangunan ini menampilkan fasad panjang dengan serambi loggia serta deretan gerbang berbentuk daun semanggi. Kini dikenali sebagai Bangunan Pejabat Ukur Lama, bangunan ini diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2012.

Muzium Tekstil Negara (Ibu Pejabat Kereta Api Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Kuala Lumpur) (1905)

Ibu Pejabat Kereta Api Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) direka pada tahun 1902. Pembinaannya berlangsung antara tahun 1904 hingga 1905 dengan kos sekitar $116,122 Dolar Selat. 

Bangunan ini terletak di persimpangan Market Street dan Damansara Road (kini Leboh Pasar Besar dan Jalan Sultan Hishamuddin) bagi menempatkan pejabat pentadbiran yang lebih besar untuk Kereta Api NNMB. 

Dibina di tapak bangunan pejabat kereta api terdahulu yang direka oleh A.C.A. Norman, bangunan ini menampilkan gaya Mughal eklektik dengan gabungan bata merah dan jalur plaster putih serta dihiasi kubah kecil dan chatri. Bangunan ini kemudiannya menempatkan Muzium Tekstil Negara sejak tahun 2010 dan diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2007.

Visitor Amenities

our floor plan

Privacy Notice